Wednesday, December 15, 2010

Karipap Berinti Sardin.

Pagi semua. Hari ini mak lang buat karipap inti sardin. sebenarnya inti ini mak lang dah buat semalam. kononnya nak buat pau. Tapi mood malas dah sampai, pagi ni buat karipap.Ini dia resepi karipap berinti sardin. Kalau sesiapa nak cuba boleh mencuba. Untuk anak ibu lain kali, kalau nak buat karipap tak tahu ,rujuk aja pada resepi ibu.


Bahan untuk kulit;
300gm tepung gandum
1sk garam+ 1/2 gelas air
3 sb minyak -dipanaskan
air secukupnya utk melembutkan kentang.
Minyak masak untuk menggoreng

Bahan untuk inti;
5 biji kentang -potong dadu kecil
1 biji lobak merah-potong dadu kecil
2sb rempah kari ikan + sedikit air( gaul rata)
1sb cili kering kisar
1 tin besar ikan sardin Adabi
3ulas bawang putih-tumbuh halus
1 labu bawang besar-tumbuh halus
garam secukup rasa
sedikit daun kari/ daun sup dan bawang.

Cara:
1. Untuk kulit campurkan semua bahan dan uli hingga tepung tidak melekat di jari dan licin. Bulat2kan doh sebesr guli. Rehatkan sebentar dalam sepuluh minit.
2. Panaskan minyak. Bila minyak telah panas masukkan bahan yang di tumbuk dan daun kari dan tumis hingga naik aroma kmdn masukkan cili kisar dan rempah kari. Tumis hinnga pecah minyak.
3. Masukkan kentang dan lobak merah serta ikan sardin serta sedikit air menutupi bahan yang ditumis. Biarkan sehingga kentang dan lobak merah lembut serta airnya agak kering. Harus dikacau selalu supaya inti tidak hangus. Rasa garam dan boleh matikan api. Sejukkan inti sebelum digunakan.
4. Bila inti sudah sejuk, gilek doh dengan torak hingga nipis dan letakkan 1sk inti . Lipat 2 dan klimlah menjadi bentuk karipap. Buat sampai doh dan inti habis. Goreng dalam minyak yang banyak. Untuk mengelakkan kulit karipap menggerutu semasa menggoreng , pastikan minyak tidak terlalu panas.apabila karipap sudah kekuningan baru besarkan api.

Tuesday, December 14, 2010

Mee Hoon Cili Padi.

Di sebabkan hari ni tak masak nasi so malam ni buat mee hoon goreng. Lihat dalam peti ais cuma ada kobis dan lobak merah, udang kering serta cili padi. Jadi apa yang ada sajalah menjadi perencah mee hoon goreng.Maka jadilah mee hoon goreng cili padi.Kepada sesiapa yang nak mencuba bolehlah lihat resepi di bawah:



Bahan:
1 bungkus mee hoon-rendam
1/4 biji sayur kobis-hiris nipis
1 batang lobak merah- hiris nipis
1 sk sos tiram
garam secukup rasa
3keping tahu -potong dadu dan goreng garing
2 biji telur
1 biji telur dadar

Bahan kisar:
9 biji cili padi( ingin lagi pedas tambah cili)
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
segenggam udang kering

Cara:
1. Panaskan minyak kmdn tumis bahan kisar hingga naik aroma dan terbit minyak.
2. Masukkan telur dan kacau bahan tumisan
3. Masukkan sos tiram, sayur2an dan garam serta sedikit air kacau rata.
4. Masukkan mee hoon dan tahu. Kacau rata ,biarkan mee hoon lembut dan rasa garam .
5. Bl mee hoon sudah masak tutup api dan boleh dihidang dengan taburan telur dadar.

Popia Istimewa Ibu


.Kulit Popia

Bhn inti:

daging kisar 500gm

1 btg lobal merah-potong kiub

1 pelepah btg saleri- potong kiub

sedikit minyak -utk menumis

2 sb sos cili

2sb sos tomato

garam secukup rasa

1pokok daun SUP n daun bawang-hiris halus

sedikit air



Bhn tumis:

2 sb rempah kari daging-bancuh dgn sedikit air

2sb cili kisar

3 ulas b.putih ditumbuk halus

1inci halia tumbuk halus...

cara:

Panaskan minyak dlm kuali

Bl minyak cukup panas masukkan bhn yg. yang dikisar , tumis hingga naik aromanya

Masukkan rcili kisar goreng hingga garing n masukkan rempah tumis hingga terbit minyak

Masukkan daging kisar gaul rata n masukkan sedikit air+ sos tomato+ sos cili dikacau rata.

Bli daging sudah lembut , masukkan lobak merah, batang saleri,daun sup n daun bawang

Kacau rata n perasakan garam.

Angkat inti n toskan minyak

Ambil sekeping kulit popia masukkan inti 1sb dan gulung spt menggulung popia.Lekatkan dgn sedikit tepung jagung + sedikit air.

Buat sampai habis inti. Bolehlah digoreng dlm minyak yg. banyak.

SELAMAT MENCUBA!!!

Sunday, November 7, 2010

Masak lomak cili api ikan kombong+ cendawan tiram

Hari ini menjenguk ke laman mak lang.Rasanya lama juga tak update .Maklumlah sejak kebelakangan ini asyik mengadap FB saja. Hr. ni mak lang nak berkongsi resepi senang iaitu masak lomak cili api ikan kombong cendawan tiram. Panjang namanya. Apapun nak masaknya senang aja. Lihat resepi di bawah:


bhn:
1/2 kilo ikan kembong rebus
1 pkt saiz sederhana cendawan tiram
1 sk serbuk kunyit
3 btg serai-titik
3 kpg asam gelugur
garam secukup rasa
1 kotak santan segera/santan dr satu biji kelapa
600ml air utk campur dengan santan segera
bhn kisar
10-12 biji cili qpi(klu nak pedas) tambah cili lagi
sedikit belacan

Cara:
1. Masukkan bhn kisar dalam periuk dan masukkan santan,air, asam gelugur serta serai(kuah mesti sentiasa dikacau)
2. Bl kuah mendidih masukkan cendawan dan ikan kembung rebus
3. Bl cendawan dah masak blh tutup api dan sedia dihidangkan

Saturday, October 30, 2010

Cucur Udang Istimewa



BHN:

300gm tepung Gandum

100gm @ lebih udang putih( kertas)

1 btg daun sup

1 btg daun bawang

1 labu bawang besar didadu

1 biji lobak merah didadu -hiris halus

1/2 sudu teh kunyit serbuk-hiris halus

garam secukup rasa

2 1/2 gelas air panas (11/2 air panas + 1 gelas air sejuk)

1 sb minyak masak dicampur dalam adunan tepung

Minyak masak untuk menggoreng



Cara:

Gaulkan semua bahan sehingga rata. Goreng ikut citarasa sendiri-Saiz terpulang

Sedap dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan sos cili/ kuah asam pedas / lemak cili padi/kuah kari

Tuesday, October 19, 2010

Salad burger


Malam ni mak lang nak berkongsi salad burger . Resepi sesuai bagi yang ingin berdiet dan sesuai utk yang berpenyakit kencing manis, kr ia menggunakan yogurt low fat. Resepi ini mak lang dapat dr seorang rakan mak lang. Dalam resepinya dia menggunakan mayonis. Tapi mak lang olah sendiri gantikan mayonis dengan yogurt low fat. Mari kita lihat resepinya.

Bahan:
5 keping burger ayam dipanggang atas kuali dan dipotong ikut suka sendiri
2 kelopak kobis dihiris halus
1 batang lobak merah dipotong dadu
serbuk lada sulah secukupnya
140gm yogurt asli low fat

Cara
Campurkan semua bahan dan gaul rata. Sedia utk dimakan...

* selain menggunakan burger, boleh juga gunakan sosej dan nugget. Mana kala sayurannya boleh guna sayuran yg. digemari.

Saturday, October 16, 2010

Menu tengah hari sabtu



Salam semua. Hari ini mak lang masak awal sikit. Mak lang masak asam rebus ikan tenggiri, goreng ikan pekasam dan sambal belacan tempoyak. Bila dah siap barulah senang duduk mengadap laman ni...mak lang masak yang simple aja dan mudah untuk dimasak, tetapi sesuai dimusim panas ni. Cuma kalau ada ulam lagi best cecah sambal belacan.Maklumlah masak apa yang ada dalam peti sejuk tu.Nak pergi ke kedai cari ulam malas. Jadi takdalah ulam.

Wednesday, October 13, 2010

Asam Pedas Tempoyak Ikan Parang



Salam semua!.. Hari ini mak lang masak gulai asam pedas tempoyak ikan parang. Sebenarnya mak lang kitar semula kuah tempoyak ikan patin. Baki kuahnya ada semangkuk lagi , sayang nak buang. So mak lang pun olah membuat asam pedas ikan parang. Okay resepinya. Kira menjadilah asam pedas tumis tempoyak ni.Rasanya sedaplah di tekak mak lang dan keluarga.Mari lihat resepinya.

Bahan :
1 ekor ikan parang (sedang)- 5 potong
2 senduk tempoyak
2 senduk cili kering kisar
3 batang serai diketuk
Garam secup rasa
3 gelas air-utk kuah
1 sk serbuk kunyit
minyak untuk menumis

Bahan kisar
4 ulas bawang putih
2 ulas bawang besar
1 inci halia
sedikit belacan-kalau tak suka tak payah letak

cara:
1 Panaskan minyak dan tumis bahan yang dikisar, bl naik aroma masukkan cili kisar dan kunyit serbuk biar sampai pecah minyak
2 Bila bahan tumisan telah pecah minyak ,masukkan ikan biarkan dalan 3-5 nminit.
3 Masukkan air dan tempoyak serta serai.
4 Kacau gulai supaya tidak hangit kr. tempoyak boleh hangus jk tidak dikacau.
5 Bila kuah mendidih dan pekat perisakan dengan garam dan tutup api sedia dihidangkan.

Monday, October 11, 2010

Ikan Patin Tempoyak



Salam semua. Malam ni mak lang nak kongsi resepi ikan patin masak tempoyak yg. siap dimasak lebih kurang pukul 8.00mlm.Masakan ni memang menjadi kegemaran mak lang dan anak dara mak lang Si Hidayah tu. Ikan patin ni jauh datangnya. Datang dari sungai Pahang. Kebetulan rakan mak lang si Azuriah tu balik Pahang pada hari Jumaat yang lalu, so mak langpun kirimlah.Malam ni mak lang masak seekor dulu.Okay mari lihat resepinya:
Bahan
1 ekor ikan patin -
2 helai daun kunyit-hiris halus
4 batang serai-dititik
2 senduk penuh tempoyak
30 biji cili padi-kisar(Jk tidak suka pedas kurangkan cili dan begitulah sebaliknya)
1 sk serbuk kunyit(klu nak guna kunyit hidup lebih kurang 1 inci-dikisar bersama cili)
4 gelas air utk kuah
garam secukup rasa

Cara:
Ikan di potong ikut saiz sendiri dan bersihkan dengan air asam jawa.
Bahan yang telah dikisar masukkan dalam periuk bersama air, tempoyak dan kunyit serta serai.
Masukkan ikan dan daun kunyit yang dihiris.
Bila kuah telah mendidih dan ikan telah masak perasakan dengan garam secukup rasa.
Tutup api dan bolehlah dihidangkan. Nyum-nyum sehingga menjilat jari.

Cara

Sunday, October 10, 2010

Mee Basah Ibu



Salam semua. Tghri ni mak lang cuma buat mee basah cara mak lang sebagai menu tghri. Ok lihat resepinya. Klu dilihat pada resepinya senang aja dan bahannyapun mudah. kay lihat resepi di bawah;

Bahan
500gm mee kuning
100gm daging yg. telah direbus dan dihiris nipis
2 biji telur
2 biji cili merah
serbuk lada hitanm ikut suka
kicap pekat (agak2 jgn hitam sangat)
3 sudu sos cili
Air secukupnya-utk kuah
2 batang sawi
1btg daun sup
1 btg daun bawang
4 ulas bawang putih dicincang halus
1inci halia dihiris nipis

Cara;
Tumis bawang putih dan halia hingga naik aroma.
Masukkan daging yg. telah dihiris dan masukkan serbuk lada hitam ,kicap,air dan sos cili.
Bl sudah mendidih masukkan telur ,sayur dan mee serta garam secukup rasa.
Kacau rata dan matikan api sedia utk dimakan. Hiaskan di atasnya dengan telur dadar yang dipecah2kan dan dimakan dengan cili jeruk.Cubalah ya!..

Pizza sempoi



Salam. Lama betul mak lang tidak update laman ni. So hr.ni mak lang nak kongsi resepi yg. mudah , cepat dan enak di makan.Iaitu pizza sempoi ibu.Resepi utk toppingnya mak lang main agak2 ja ikut cita rasa sendiri, mengikut citarasa anak2 mak lang yang tidak suka banyak sayur dan yg. sorang pula tidak boleh makan terlalu banyak sos yg. mengandungi gula. Jadi mak langpun buat mengikut kesesuaian selera anak.

Pizza sempoi ibu.
4 kpg roti nan

Topping
sedikit sayur campuran
sosej ayam Ramli

Bhn A
4 sudu mayonis
3 sudu sos cili
sedikit serbuk oregano

Cara:
1. Aturkan roti dalam dulang. Sblm itu panaskan dahulu oven suhu 180 C selama 5minit.
2. Campurkan A kacau sebati kmdn sapu di atas roti.
3. Susun sosej yg. telah dihiris nipis, taburkan sayur campur dan akhir sekali taburkan cheese Mozarella.
4. Bakar dalam oven selama 10 -15 minit. Siap utk dimakan.Nyum...

Thursday, August 19, 2010

Masak lomak cili Api udang berserai


Bahan:
1/2 kilo udang saiz XL
1 kotak santan segera
air dalam 800ml(ikut citarasa sendiri-agak2lah)
garam secukup rasa
3 keping asam gelugur

Bhn kisar
15 biji cili padi
sedikit belacan
5 btg serai hiris

Utk rencah
2 biji kentang belah empat
2 biji tomato belah empat
kacang buncis ikut suka.

Cara:
Masukan bhn kisar, santan, serbuk kunyit , garam, asam gelugur dan air serta kentang.
Masak hingga kentang empuk masukan udang dan sayur. Kuah hendak
lah sentiasa dikacau utk mengelakan pecah minyak
Bl kuah agak pekat sesuaikan garam blh tutup api. sedia dihidangkan

Saturday, August 14, 2010

Gulai Lomak Nenas Cili Padi Ikan Terubuk Masin


Ni dia gulai lomak yang mak lang masak utk bersahurhr. ni. Lama juga mak lang tak menjenguk laman mak langni. al-maklumlah sibuk sikit kebelakangan ni. Bl ada free blhlah mak lang berkongsi ilmu. Ok ni bhn2 utk resepi kali ni.

Bhn:
1 biji nenas
1 ekor ikan terubuk masin Sarawak
santan kelapa( 1 biji kelapa)-kuahnya agak menutupi bhn2 dah cukup.terpulang pd cita rasa sendiri.
Cili Padi ikut citarasa-kisar
sedikit belacan
2 btg serai dititik
serbuk kunyit
garam secukup rasa

Cara:
Cili+belacan kisar halus
Masukan bhn kisar dalam periuk+nenas + sedikit air.Kecutkan nenas dalam 3 minit sehingga kering air nenas.
Masukan serbuk kunyit, santan dan serai serta ikan masin. Dikacau selalu supaya tak pecah minyak. Bl kuah mendidih masukan garam dan sesuaikan rasa. Kuah dah agak pekat blhlah ditutup api.

Ikan terubuk masin ni dah lama anak buah Pak lang yang kasi semasa dia gi sarawak. Baru semalam mak lang masak. Cubalah ya! Sodap.........

Saturday, July 24, 2010

KARI IKAN MERAH MAKLANG

Salam semua. Hari ini mak lang nak kongsi resepi tengahari untuk keluarga mak lang, iaitu kari ikan merah ,mak lang yang simple aja. Oklah mari kita lihat resepinya kat bawah. Mak lang klu buat kari suka rasa masam sikit kerana Pak Lang suka kari yang masam dan pekat. Ala2 kari mamak katanya. Tapi yang buat ni bukanlah mamak ori sbb mak lang dan pak lang org Melayu pure.Ni dia kari mak lang yang baru aja masak , masih berada dalam kuali lagi. Selain makan ngan nasi , buat jemput2 kelapa atau garam atau lempengpun sedap dicicah dengan kari. Apa lagi klu karinya pekat.Sedap.........

1 EKOR IKAN MERAH-SEDANG
1 LITER AIR UTK DICAMPURKAN DGN SANTAN
1 KOTAK SANTAN SEGERA
SAYUR bENDISECUKUPNYA
4BIJI BUAH TOMATO
2 SUDU BESAR CILI KISAR
3 SUDU BESAR REMPAH KARI IKAN
3 SUDU BESAR REMPAH KARI DAGING
4 ULAS BAWANG PUTIH
1 BIJI BAWANG BESAR
2 SUDU BESAR ASAM JAWA(ADABI)@ IKUT CITA RASA MASING2 . MAK LANG SUKA KARI N YANG MASAM SO MAK LANG LEBIHKAN ASAM JAWA
1 INCI HALIA
3CM BELACAN
2 TANGKAI DAUN KARI
MINYAK SECUKUPNYA UTK MENUMIS

CARA
1. BAWNG BESAR.PUTIH DAN HALIA DIKISAR BERSAMA BELACAN
2. TUMIS BaHAN KISAR HINGGA GARING DAN MASUKKAN CILI BIAR PECAH MINYAK, MASUKKAN REMPAH TUMIS LAGI HINGGA PECAH MINYAK.
3. Masukkan ikan gaul sebati biar dalam 5minit
4. Masukkan air+ SANTAN secukupnya berserta asam jawa dan garam .
5. Biarkan kuah mendidih dan masukkan tomato dan sayur. Biar lima minit baru diangkat dan sedia utk dihidangkan.

Monday, July 19, 2010

Asam Pedas Ikan Pari

Assalamulaikum dan salam satu Malaysia. Agak lama juga mak lang tidak berkongsi resepi. Sejak kebelakangan ini mak lang agak sibuk menyiapkan tugasan yang diamanahkan. Maklumlah dah masuk semester kedua persekolahan. okay, hari ni mak lang nak berkongsi resepi asam pedas ikan pari cara orang Melaka. Mari lihat resepi di bawah.

Bahan
½ kilo ikan pari
1 sudu besar kerisik
5 sudu besar cili kering kisar
4 biji tomato
Beberapa biji sayur bendi
1 sudu besar asam jawa
1 liter air
Garam secukupmnya
3 helai daun limau purut
3 batang serai diketuk
Minyak masak
Bahan kisar
1 sudu jintan manis
½ sudu jintan putih
1 sudu lada hitam
Sedikit belacan
2 biji bawang besar
1 inci halia
4 ulas bawang putih

Cara
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan masukan kerisik tumis hingga pecah minyak.
2. Masukan ikan kacau sebati dan biarkan rempah sebati dengan ikan
3. Masukan air dan asam jawa serta garam serta daun limau purut dan serai.
4. Bila kuah mendidih masukan sayur dan biar sebentar , masukan tomato. Biar dalam 3 minit tutup api dan boleh dihidangkan
P/s Mak Lang masak dalam kuali supaya senang untuk dikacau dan ikan tidak hancur

Tuesday, July 13, 2010

Assalamualaikum!..

Apa khabar semua. Mak lang sekarang tak sempat nak berkongsi resepi. Sbb dapur mak lang dah beberapa hari tak berasap. Kerana terlalu letih dan mood nak masak tu tak da. Semua main tunjuk ja kat kantin sekolah.nantilah ya! klu mak lang ada mood rajin nanti mak lang kongsi resepi yang mak lang masak untuk keluarga. Terasa mengantuk pula mata ni.......Ok lah, insaallah kita berbicara lagi dialam maya dilaman mak lang ya!..

Thursday, July 8, 2010

Jus Carot O limau


Assalamualaikum semua!Hari ni mak lang nak berkongsi resepi minuman yang biasa saja, tp berkhasiat. Jus ni dibuat atas permintaan anak lelaki mak lang yang terkena batuk. Biasanya kalau mak lang terkena batuk mak lang akan ambil madu dicampurkan dua@ Tiga biji air limau kasturi@ nipis. Inssaallah akan lega sedikit batuk. Okay. Lihat resepi dibawah.

Bahan
1 biji lobak merah
2@3 biji limau kasturi
1 sb madu
1 gelas air

cara
1. Lobak dikisar bersama 1 gelas air dan tapis.
2. Masukan dalam gelas dan perahkan asam limau
3. Masukan 1 sb madu dan kacau rata.
4. Sedia diminum,klu disejukan atau diletakan ais lagilah sedap.

Sunday, July 4, 2010

Sambal Ikan Parang

Salam! Hari ni disebabkan gulai rebung semalam masih banyak lagi, so mak lang taklah masak gulai lagi.Sebagai tambahan mak lang cuma goreng sayur kangkong dan buat sambal ikan parang, kebetulan itu sahaja ikan dan sayur yang ada. Untuk lauk esok nak gi pasar malam dekat Taman Sri Putra barulah beli lauk untuk esok. Ok mak lang catatkan resepi sambal ikan parang mak lang yang sempoi ni.

Bahan
1 ekor ikan parang ( kerat ikut suka)
serbuk kunyit untuk menyalut ikan
2 senduk cili kering kisar
3 biji bawang besar- dikisar
sejemput asam jawa+ sedikit air
minyak untuk menumis
garam secukup rasa
kicap manis secukupnya

Cara
1. Goreng ikan yang telah digaul rata dengan kunyit
2. Gunakan minyak yang menggoreng ikan untuk menumis sambal( kurangkan kuantiti minyak .Sekadar cukup untuk menumis.
3. Tumis bawang dan cili hingga pecah minyak dan masukkan air asam jawa serta kicap manis . Jangan bubuh kicap banyak sangat. Nanti jadi hitam pula.
4. Rasa garam dan boleh masukan ikan, gaul rata. Biarkan dalam 5 minit.Tutup api dan boleh dihidangkan.

Lihatlah berkilat nampak sambal mak lang tu.Itu tak pakai pengilat tu. Klu pakai camanalah agaknya ya?..

Saturday, July 3, 2010

Gulai Lemak Rebung Cili Padi

Assalamualaikum! Malam ni mak lang berkongsi resepi yang menjadi menu utama makanan hari ini. Sebenarnya dah bertahun mak lang tidak merasa daging kerbau. Dulu arwah ibu mak lang suka makan daging kerbau yang dipanggang dan cicah dengan air asam. Semua itu hanya kenangan sahaja yang masih menjadi memori bagi mak lang. nak cerita sikit. Daging kerbau dan rebung jeruk mak lang beli di Pekan Masjid Tanah semasa mak lang berkunjung ke Melaka. Balik kampung. Tapi taklah ke kampung hanya singgah sebentar di pekannya semata2 untuk membeli daging kerbau dan rebung jeruk. Rebung jeruk melaka special sikit. Tak sama seperti yang terdapat kat Selangor atau tempat lain.Sbb tulah mak lang suka. Klu buat masak lemak cili api rencah ikan darat atau daging salai/ panggang memang sodap!..Ok mari lihat resepi. resepi ini mak lang dah olah sendiri. Biasanya tak pakai bawang putih dan halia.

Lomak Cili Api Rebung dan Daging Kobau Panggang.
Bahan
1/2 kilo daging kerbau-dipanggang
1/2 kilo rebung jeruk
santan dari sebiji kelapa
Garam secukupnya
serbuk kunyit secukupnya

Dikisar
RM1 cili padi
4 batang serai
3 ulai bawang putih
1/2 inci halia
Cara
1. Daging yang telah dipanggang dihiris nipis
2. Bahan kisar, serbuk kunyit dan rebung masukan ke dalam periuk. Kecutkan rebung sehingga air rebung kering.
3. Masukan santan dan daging.Masak sehingga kuah mendidih dan pekat. Kuah dikacau selalu supaya tidak pecah minyak. Bila kuah sudah pekat dan rasa garam. Bolehlah tutup api.

Sandwich Telur


Assalamualaikum!... Pagi ini anak perempuan mak lang ada program menjawap soalan BM di sek.nya. Jadi seperti biasa mak lang membuat sarapan untuknya dan juga keluarga. So, pagi ni mak lang menyediakan sandwich telur rebuslah. Mari kita lihat resepinya.

Sandwich telur.
Bahan
Roti wholemeal/ roti putih
3 biji telur direbus
3 ulas bawang putih digoreng dengan sedikit minyak
2 sudu makan yogurt asli rendah lemah
1 sudu serbuk lada sulah/lada putih
hirisan timun secukupnya
garam secukupnya
mentega

Cara:
1. Telur rebus yang telah dibuang kulit dilenyek/hancurkan
2. Masukan bawang putih goreng, lada sulah dan yogurt gaul sebati masukan garam secukup rasa.
3. Sapu roti dengan mentega dan letakan timun serta bubuh telur dan letakan timun lagi pada lapisan telur dan tutup dengan sekeping roti yang telah disapu dengan mentega.
4. Potong dua sedia untuk dimakan.

Resepi ni mak lang guna serbuk lada putih sebab tu mak lang letak garam. Mak Lang tidak menggunakan serbuk perasa seperti yang berada dipasaran. Ok...bolehlah mencuba ya! Resepi yang sempoi ni.

Sunday, June 27, 2010

Jemput-jemput udang


Assalamualaikum semua.Petang ni mak lang tunjukan makanan yang paling simple untuk dimasak dan tak jemu dimakan. tapi kalau tak biasa buat atau tak tahu tip untuk mendapatkan jemput-jemput yang lembut sampai kepetang walaupun telah sejuk , hasilnya akan liat bila dah sejuk. Ok di sini mak lang bagi tau apa dia tip supaya jemput-jemput yang dibuat akan sentiasa lembut. Ketika membancuh tepung gunakan air panas yang baru masak. Insaallah akan lembutlah jemput2 itu bila dimasak walaupun telah sejuk sampai keesokan harinya.
Tentang resepi mak lang rasa semua orang tahu nak buat. mak langpun klu buat takyah nak sukat-sukat, pakai bubuh aja ikut citarasa. Apapun kemahiran memasak ni harus dilakukan setiap hari atau selalu.tak jadi pertama kali buat , jangan putus asa. Cuba lagi dan akhirnya nanti pasti menjadi.

Saturday, June 12, 2010

Nenas Lemak cili Padi


Bahan
1 biji buah nanas 20biji cili padi
3 cm belacan 1 kotak santan kelapa
2 batang serai Garam secukup rasa
3 ekor sepat masin( sederhana saiz)-direndam untuk mengurangkan rasa masin

Cara
1. Nenas potong segi tiga( ikut suka)
2. Cili padi dan belacan kisar
3. Masukkan cili yang dikisar bersama nenas dan sedikit air
4. Kecut nenas dan ikan sepat masin gaul sebati dengan cili.
5. Masukkan santan yang telah dicampurkan dengan 600ml air dan serai.
6. Bila kuah telah mendidih dan agak pekat rasa garam.
7. Boleh tutup api dan sedia dihidangkan
P/s dalam gulai boleh juga dimasukan daun pucuk ubi kayu atau ulam raja. Disebab kedua2nya tak ada jadi mak lang tak letaklah. klu ada lagi menambah enak gulai nenas ini. Selamat mencuBA!.........

Thursday, June 10, 2010

Jus Buah Batang Celery


Bahan
Sebatang batang celery 1 biji epal hijau
1 biji buah belimbing 1 sudu makan madu
1 gelas air masak

Cara
Kisar kesemua bahan dan tapis. Bolehlah diminum begitu sahaja atau diminum sejuk bersama ais.
Jus ini sesuai untuk pengidap darah tinggi dan kencing manis dan baik untuk kesihatan.Untuk pengidap kencing manis tak perlulah letak madu.Minuman ini telah menjadi minuman rutin untuk mak lang dan anak gadis mak lang. Selamat mencuba!...

Roti jala



Bahan A
300gm tepung gandum 500ml air/ikut kepekatan
1biji telur 1 sudu makan butter
Garam secukup rasa 1 titik pewarna kuning telur

Kuah
300gm isi ayam hiris nipis 1 sudu makan rempah ikan
4 sudu makan rempah kari daging sekelopak bunga lawang,
1 cm kayu manis sebutir buah pelaga
1 biji bawang besar 2biji bawang putih
1inci halia muda 1 sudu susu tepung+ sedikit air
Garam secukup rasa satu tangkai daun kari
1 sudu kecil asam jawa adabi 600ml air
Sedikit minyak untuk menumis 2 biji ubi kentang potong dadu

Cara
Roti jala
1. Bancuh semua kemudia ditapis dan biarkan lebih kurang 20minit.
2. Panaskan kuali leper dan sapu sedikit minyak masak
3. Mulalah menjala , bila roti telah masak boleh lah digulung atau dilipat segi tiga. Laku seperti ini hingga adunan habis.

Kuah
1. Kisar atau tumbuh bawang .
2. Panaskan minyak kmdn tumis rempah 3 sekawan , daun kari dan bahan kisar hingga naik bau
3. Masukkan rempah yang dibancuh dengan sedikit air biarkan pecah minyak.
4. Masukkan daging ayam biar selama beberapa minit hingga rempah meresap kedaging.
5. Masukkan air, garam dan asam jawa ser ubi kentang
6. Bila kuah telah mendidih dan ubi kentang empuk masukkan susu yang telah dibancuh dengan sedikit air.
7. Bila kuah agak pekat rasa garam dan bolehlah ditutp api.
8. Hidang bersama roti jala. Selamat mencuba

Sunday, June 6, 2010

Bee hoon Tom Yam

Selamat tengahari semua. Lama mak lang tidak berceloteh. Hari ni mak lang nak kongsi resepi menu tengahari ini. Itupun atas permintaan anak gadis mak lang Si Dayah tu!.......Jadi makan tengahari ni bee hoon tom yam. Mari lihat resepi mak lang.Ni gambar diambil sejurus tom yam siap dimasak.Ok mari layan........

Bahan
kuah
5 ekor sotong saiz sederhana
300gm udang saiz sederhana
300gm isi ayam
5 batang serai dititik
5 biji baby tomato
sepelepah batang salere
250gm cendawan tiram
bunga kobis
5helai daun limau purut
1 1/2liter air
garam secukupnya
air perahan limau kasturi ikut secukup rasa

Bahan kisar
10 biji cili padi
3ulas bawang bawang putih
3 1inci halia muda
5 biji baby tomato

Cara
1. Bahan kisar masuk ke dalam periuk dan masukkan air, biar hingga mendidih. Masukkan garam .
2. Bila kuah mendidih masukan ayam , sotong , udang,serai dan daun limau purut.
3. Akhir sekali bila ayam,sotong dan udang sudah masak, masukan sayur ,cendawan dan air limau. Rasa garam dan bolehlah ditutup api dan dihidangkan bersama bee hoon.
Selamat mencuba!

Friday, June 4, 2010

BEE HOON LAKSA


Bahan untuk kuah
10 ekor ikan kembung-rebus ambil isi. Tulang dan kepala dikisar tapis ambil airnya.
1 liter (secukupnya)
2 biji bawang besar-kisar
5 sudu cili kering kisar(jika suka pedas boleh + cili padi
Sedikit belacan-dibakar kisar bersama bawang
2 kuntum bunga kantan
Seikat kecil daun kesum
Garam secukup rasa

Bahan sampingan
Bee hoon dicelur
Timun
Buah nanas
Bawang besar
Cili merah besar
Limau kasturi
Telur ayam rebus

Cara
1. Ikan kembung direbus dan ambil isinya, manakala tulang dan kepala dikisar dan tapis-guna air rebusan ikan . air lebihan rebusan disimpan untuk kuah
2. Campurkan semua bahan kisar dalam periuk masukkan 1 liter air dan 4 keping asam gelugur dan masukkan garam
3. Bila kuah mendidih masukkan daun kesum dan bunga kantan yang dihiris.
4. Bila kuah mendidih dan agak pekat rasa garam dan boleh tutup api.
5. Akhir sekali boleh dimakan bersama bee hoon ,timun, potongan hirisan bawang merah besar, hirisan nanas dan telur rebus. Sekiranya suka lebih masam perahkan limau kasturi. Selamat mencuba!...............

Tuesday, June 1, 2010

Sambal tahun cili padi

Sambal tahun cili padi
Bahan

50gram cili padi kisar
100gram ikan bilis kisar kasar
2 biji bawang besar kisar
1 sudu asam jawa+ ½ cawan air
Satu sudu besar gula
1 sudu camca garam@ secukupnya
Minyak untuk menumis secukupnya
Cara
1. Panaskan minyak dan masukan ikan bilis , bawang dan cili.
2. Gorenggaring dan kacau selalusupaya tidak hangus.
3. Masukan garam,gula dan air asam
4. Kacau selalu hingga sambal kering dan garing.
5. Bila garam, asam dan gula rasa seimbang ,boleh matikan api dan boleh dihidangkan.

Ni hasil sambal yang telah dimasak.
P/S Sambal ini sedap dimakan dengan nasi putih, ubi rebus dan bubur nasi air garam

Wednesday, May 19, 2010

Kari nangka muda


Bahan.
2 potong nangka muda
2 pkt kecil Tulang ikan masin
1 liter santan kelapa
1 biji bawang besar-kisar
3 ulas bawang putih-kisar
1 sudu besar cili kering kisar
2 sudu makan rempah kari ikan
2 sudu makan rempah daging
2 tangkai daun kari
1sudu camca asam jawa
1sudu besar kerisik
Minyak masak secukupnya.

Cara.
1. Nangka di potong kecil dan dicelur hingga empuk
2. Ke dua-dua rempah kari dibancuh dengan ½ cawan air.
3. Tumiskan bawang hingga naik bau dan masukkan cili kisar dan rempah serta daun kari.Tumis hingga pecah minyak.
4. Masukkan santan ,nangka dan ikan kering , kerisik serta asam jawa, biar mendidih.
5. Rasa garam. Bila telah rasa garam dan kuah telah cukup masak dan agak pekat , angkat. Boleh dihidangkan.

Sunday, May 16, 2010

Gulai lemak Cili Padi Pisang Muda Ikan Keli


Hari ni mak lang nak kongsi resepi lemak pisang muda rencah ikan keli. Keinginan nak masak ni dah beberapa minggu. Akhirnya hari ni tertunai juga. Tapi pisangnya dah terover cooked. Maklumlah dah lama tak masak gulai pisang. Okay mari kita lihat resepi.

Gulai lemak Cili Padi Pisang Muda Ikan Keli-Panjang betul namanya.
Bahan.
sesisir pisang muda -pisang yang sesuai untuk dibuat gulai.(Celur tp jangan terlalu masak)
RM1 cili padi-dikisar bersama belacan
sedikit belacan
santan dari satu biji kelapa
3 batang serai dititik
4 keping asam gelugor
satu sudu camca serbuk kunyit
Garam secukup rasa

Cara
1. Masukan semua bahan kisar,santan ,asam gelugor, serai, serbuk kunyit dan garam
2. Dikacau kuahnya selalu supaya tidak pecah minyak
3. Bila mendidih masukan ikan keli yang telah digoreng separuh masak/salai
4. Akhir sekali masukan pisang yang dicelur ,biar kuah pekat dan rasa garam.
5. Bolehlah ditutup api dan dihidangkan

Saturday, May 15, 2010

Kembung Rebus Cili Padi Meranti

Assalamualaikum tetamu laman mak lang!Hari ini mak lang nak berkongsi gulai lemak ikan kembung rebus sayur meranti lemak cili padi. Ikan kembung rebus yang mak lang gunakan adalah hasil resepi mak lang sendiri, bukan ikan kembung rebus yang dijual di pasar.

IKAN KEMBUNG LEMAK CILI PADI MERANTI
Bahan
4 ekor ikan kembung rebus
1 liter santan
1 ikat sayur meranti
4 biji buah belimbing buluh belah dua dan tumbuk sedikit
2 batang serai dititik

Bahan kisar
Segenggam cili padi
1 sudu camca serbuk kunyit
Sedikit belacan

Cara
1. Bahan kisar, santan ,sedikit garam masukan ke dalam periuk dan masak hingga mendidih. Kuah harus dikacau selalu bagi mengelakan kuah pecah minyak
2. Bila kuah mendidih masukkan ikan dan asam belimbing
3. Akhir sekali masukan sayur biar lima minit , rasa garam bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Tuesday, May 11, 2010

Pizza Makanan Laut Segera

Assalamualaikum kepada pelawat laman mak lang. Lama juga Mak Lang tidak berceloteh. Hari ni mak lang nak kongsi resepi pizza. Resepi ni mak lang dapat idea daripada anak sulung mak lang. Dekat taman tempat tinggal mak lang ada pasar tani(malam ) hari Rabu. satu hari anak dan suami mak lang pergi ke pasar tu. Jadi salah satu dishoppingnya ialah pizza.Anak mak lang beritahu pada mak lang yang penjual pizza itu menggunakan roti pita untuk membuat pizza.So dari situ mak langpun mulalah mendapat idea, tak payah susah-susah nak adun doh. Okaylah. Jom lihat resepi pizza segera mak lang.


Pizza makanan laut
Bahan
4 keping roti pita- boleh dibeli dekat tesko
100gram udang basah- rebus separuh masak
4 batang jejari ketam–rebus separuh masak dan hiris nipis
2 biji bawang besar-hiris bulat
Parutan Cheese mozzarella
4 sudu makan mayones
4sudu makan sos tomato puri
Rempah oregano
Sayur campuran(jika suka)-mak lang btak letak sbb anak2 mak lang tak suka sayur.

Cara:
1. Panaskan oven terlebih dahulu selama 5 minit dalam suhu 230C
2. Gaulkan mayones , tomato puri dan sedikit oregano kmdn sapukan di atas roti
3. Susun udang dan potong ketam serta bawang besar.
4. Taburkan serbuk oregano dan cheese mozzarella
5. Bakar selama 10minit atau hingga kekuningan selama 230C

Sunday, May 2, 2010

Sambal Tumis Udang

Salam untuk semua. Hari ini mak lang nak berkongsi resepi yang ringkas dan mudah untuk disediakan.Biasanya Mak lang klu buat sambal tumis suka cicah dengan jemput-jemput ataupun lempeng kosong atau ubi rebus.Biasanya untuk sarapan pagi atau petang.Dan biasanya mak lang akan buat lebihlah.Okay., mari kita lihat resepi.

SAMBAL TUMIS UDANG
300 gram udang basah
1 cawan cili kering kisar
2 biji bawang besar-kisar
Sedikit belacan (jika suka)
1sudu makan asam jawa + 1 cawan air
Garam
½ sudu makan gula pasir
Minyak masak secukupnya( untuk menumis)

Cara;
1. Panaskan minyak dalam kuali ,tumis bawang hingga naik bau dan masukan cili tumis hingga pecah minyak
2. Masukkan air ,asam jawa,garam dan gula.
3. Bila sambal telah mendidih dan kuah agak pekat serta pecah minyak masukan udang.
4. Biar dalam 5 minit , rasa garam,asam dan gula.Bila rasa masam,manis dan masin seimbang,Tutup api dan sedia dihidang.
Mak lang menggunakan sedikit gula untuk mengimbangi rasa masin ,masam dan manis. Mak lang tidak menggunakan serbuk perasa.(Ajino-moto atau apa-apa serbuk perasa). Mak lang juga sering mencampurkan sedikit belacan dalam masakan untuk menambah rasa.

Friday, April 30, 2010

SAMBAL IKAN KELI.

Assalamualaikum!......Dah beberapa hari mak lang tidak mencoretkan sesuatu di laman ni. Bukan apa.......hanya sibuk dengan tugas rumah dan tugas disekolah.Memandangkan hari ini, hari yang dinantikan kerana esok hari cuti maka sempatlah menjengok ke laman ini.Hari ini juga merupakan hari terakhir menti mak lang iaitu Cik Aliza bt Morni dan juruteknik Saifuddin berada di sekolah .Terasa sedih di hati kerana perpisahan ini.Tapi sudah menjadi lumrahnya alam setiap pertemuan ada perpisahan.Mak lang doakan keduanya berbahagia dan sentiasa dalam keberkatan Allah. Okaylah.., tak nak sedih-sedih . Dalam catatan mak lang yang lalu ada mak lang memberi resepi/tip tentang ikan air tawar. Jadi hari ini mak lang nak kongsi resepi sambal ikan keli. . Klu rasa berkenan bolehlah mencuba. Ikan yang mak lang gunakan ini telah diperap terlebih dahulu. Klu nak tahu apa bahan perapannya sila rujuk pada catatan yang lepas.
Sekarang mari lihat resepinya.


SAMBAL IKAN KELI.
Bahan:
3 Ekor ikan keli yang telah digoreng.
6 sudu makan cili kering kisar
2 biji bawang besar-kisar
3 biji bawang putih –kisar
½ inci halia-kisar
1sudu teh asam -jawa asam jawa adabi).
1 sudu makan gula pasir
Minyak untuk menggoreng

Cara:
1. Tumis bahan yang dikisar hingga garing dan pecah minyak
2. Masukkan asam jawa , ½ cawan air ,gula dan garam secukupnya.
3. Akhir sekali bila sambal telah pekat dan garing , rasa masam dan manis serta garam yang seimbang. Tutup api , sedia untuk dinikmati.

Tuesday, April 27, 2010

Menajamkan Gunting.

Malam ni mak lang nak berkongsi petua bagaimana nak menajamkan gunting. Kadang-kala bila kita nak memotong kain, masa tulah ia tumpul.Jadi disini mak lang kongsikan beberapa petua. Ok, mari kita lihat petua di bawah.
1. Potong beberapa helai daun serai dengan gunting yang tumpul, kemudian asah mata gunting itu dengan daun serai. Inssallah, gunting itu akan tajam semula.

2. Selain itu, botol kaca juga boleh digunakan bagi menajamkan gunting.Caranya ialah dengan mengasah mata gunting pada bahagian leher botol beberapa kali.

3. Daun tebu juga boleh digunakan untuk menajamkan gunting ,dengan cara memotong beberapa helai daun tebu menggunakan gunting yang tumpul itu.

4. Petua yang lain pula ialah dengan menggunakan cawan tembikar. Asahkan gunting yang tumpul pada bahagian bawah cawan.
Kalau kita duduk dikampung, petua yang menggunakan daun serai, daun tebu mudah untuk digunakan. Memandangkan zaman moden ini telah ada alat pengasah gunting maka kerja kita lebih mudah lagi.Jadi fikirlah yang mana lebih mudah dan menyenangkan. Selamat mencuba........

Sunday, April 25, 2010

Nasi Goreng Ikan Sardin

Assalamualaikum!
Petang ni mak lang nak berkongsi resepi yang senang untuk dibuat. Memandangkan hari dah petang dan esok adalah hari bersekolah dan hari bekerja, jadi kalau ada sesiapa yang tak ada idea nak buat menu sarapan pagi esok bolehlah mencuba resepi nasi goreng mak lang ni. Ok, mari lihat resepi di bawah:


Sorilah ya!, kalau tengok gambar nasi goreng mak lang tu nampak potongan sotong kering kat atasnya. Bukan apa.. masa mak lang buat nasi goreng ni, adalah pulak lebihan sambal sotong kering, jadi mak lang campurkan sekali dalam nasi goreng ni.Jadilah nasi goreng sartong( sardin + sotong).he.he..he...

NASI GORENG IKAN SARDIN
Bahan:
1mangkuk nasi putih
1 tin sedang ikan sardin-hancurkan sedikit.
1mangkuk kecil sayur campur
2biji telur ayam
Minyak masak secukupnya untuk menumis
Sebiji timun, tomato/ untuk hiasan/ulam
2 sudu makan cili kering kisar-klu suka lebih pedas masukan cili padi kisar.

Bahan kisar
4biji bawang putih
1 biji bawang besar

Cara
1. Panaskan kuali masukan minyak
2. Bila minyak sudah panas tumis bawang dan masukan cili kisar goreng hingga pecah minyak
3. Masukan ikan sardin yang dihancur, gaul rata
4. Masukan telur dan kacau rata ,masuk sayur campur
5. Masukan nasi dan garam secukup rasa.
6. Goreng nasi agak garing baru diangkat. Sedia untuk dihidang dan dinikmati.

Friday, April 23, 2010

Petua Mak Lang

Assalamualaikum! hari ini Mak Lang nak berkongsi petua bagi menghilangkan hanyir ikan air tawar.Sebelum tu nak cerita sikit, tentang ikan air tawar ni. Bukan semua orang suka makan ikan air tawar. Ini mungkin disebabkan bau dan rasanya yang hanyir.
Jadi, disini mak Lang kongsikan beberapa petua untuk menghilangkan bau hanyir ikan.

1. Gaulkan ikan air tawar bersama garam. Biarkan selama setengah jam. setelah disiang dan dibersihkan dengan air dan gaul dengan tepung gandum. Biarkan Lebih kurang sepuluh minit ke lima belas minit. Kemudian, baru dibasuh dengan air bersih.
Insaallah ikan itu tidak akan berbau hanyir.

2. Ikan digaul dengan garam dan perahan limau kasturi. Biarkan lebih kurang sepuluh minit, kmdn dibersihkan dengan air bersih.

3. Ikan yang telah disiang isi perutnya, dibersihkan. Kmdn direndam dengan air garam dan asam jawa, biarkan sepuluh minit. Setelah itu baru dibersihkan dengan air bersih.

Untuk menjadikan ikan air tawar itu rasa enak dimakan , cubalah resepi mak lang ini.

1kilo ikan air tawar( Keli)
4ulas bawang putih-tumbuh halus
1 inci halia-tumbuk halus
1 sudu serbuk kunyit
garam secukup rasa.

Cara:
Ikan yang telah dibersihkan gaul dengan bahan yang ditumbuh halus ,serbuk kunyit, dan garam.Gaul rata. Kemudian diperap paling kurang 30minit.( Lagi lama diperap , lagi sedap rasanya.)

selamat mencuba!

Monday, April 19, 2010

Dapur Mak Lang berasap kembali.


Alhamdulillah dah beberapa hari ni kaki mak lang tidaklah terasa sakit sangat. Jadi bolehlah memasak untuk keluarga.Walaupun keluarga mak lang kecil tapi suami dan anak perempuan mak lang memang pemakan orangnya, termasuklah mak lang sendiri. Sebenarnya resepi yang mak lang nak kongsi ni bukanlah special sangat.Biasa aja. Ok layanlah resepi ni. Agak berkenan bolehlah mencuba.

GULAI LEMAK CILI PADI NENAS.

1 Biji nenas yang separuh masak/nenas muda
300gm udang basah -saiz m
2 helai daun kunyit.
1 biji santan kelapa.( mak lang guna santan kotak UTH rendah lemah + dgn 11/2mangkuk gulai air.
1 sudu camca serbuk kunyit.
garam ikut rasa.

Bahan kisar
segenggam cili padi
3cm x 3cm belacan-mak lang guna belacan Melaka.

cara:
1. Nenas di hiris atau potong bersegi tiga
2. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama nenas. Kecutkan nenas hingga agak kering airnya.
3. Bila air nenas agak kering masukkan santan mengikut selera sendiri.Klu suka pekat kuahnya jgn letak air byk.
4. Masukkan udang,Daun kunyit disiat-siat , berserta garam secukup rasa ke dalam kuah.Kuah mesti dikacau selalu supaya tak pecah minyak.
5. Bila kuah sudah mendidih boleh tutup api. Sedia untuk dihidangkan.

Tuesday, April 13, 2010

Dapur tak berasap lagi.

Hari ni MC gi hospital minta dokt. x-ray lutut kananku. alhamdulillah tak ada masalah yang serius. cuma biasalah faktor usia. Beberapa jenis pil diberi untuk ku telan. Boringlah cerita pasal ubat. Nak cerita pasal dapurku yang dah berapa hari tak berasap, almaklumlah kesihatan yg. tak mengizinkan. Jadi hari ni beli ajalah mkn kat luar.

Makan mlm kat gerai menunaikan janji pada anak untuk raikan hari jd abahnya merangkap hari ulang tahun perkahwinan kami. Hasrat hati ni memanglah tinggi nak masak yg. sedap2 utk. anak dan suami, tp.......
itu kisah mengapa dapurku tak berasap lagi.

Monday, April 12, 2010

Air Tangan Mak Lang

Mak Lang nak bercerita tentang ikan kembung rebus. dulu2 masa tak tahu nak buat ikan kembung sendiri , arwah mak selalu beli ikan kembung kat pasar. Masa tu memanglah sedap. makan ngan nasi panas dan sambal belacanpun bertambah2 nasinya. Bukan sekadar goreng, ikan kembung ni dimasak apapun sedap. Tp setelah keluarnya fatwa mengatakan ikan kembung rebus yang kat pasar tu haram dimakan oleh umat Islam, maka bermulanya saat itu taklah lagi membeli ikan kembung. Tekak ni teringin nak makan si ikan kembung rebus, tp bl mengenangkan hukum tak jadi nak beli.

Satu hari kerana keinginan nak makan ikan kembung rebus ni terlalu kuat, terfikirlah dik akal ni, bagaimana nak buat sendiri. Maka dengan keizinan Allah jua maka terhasillah resepi ikan kembung Mak Lang. Rasanya tak jauh beza dengan yang beli di pasar. Yang paling penting ianya dijamin suci,bersih dan halal. Keluarga mak Lang dan rakan2 yang telah mencubapun memberi pujian dan minta resepi untuk dijamu pada keluarga mereka. Okaylah kat sini mak lang sertakan resepinya. Layan...................

Ikan Kembung Rebus

1 kilo ikan kembung-buang isi perut dan bersihkan dengan air asam jawa.
4 keping asam gelugor
garam ikut selera
air secukupnya- menutupi paras ikan.

Cara;
1 Ikan yang telah dibersihkan disusun di dalam kuali
2 Masukkan garam (ikut selera), asam gelugor, dan air menutupi paras ikan.
3 Rebus ikan hingga airnya hampir kering dan matikan api..
4 Angkat ikan dan bolehlah terus dimakan begitu sahaja, digoreng atau dimasak ikut selera.

Nota: Ikan ni boleh tahan beberapa hari jika disimpan dalam peti sejuk.

Selamat mencuba bagi yang ingin mencuba!

Kembung rebus


Bahan
1 kilo ikan kembung putih
4 keping asam gelugor 2 batang serai
Garam secukup rasa
Air
Cara:
1 Ikan dibuang isi perutnya dan bersihkan
2 Susun ikan dalam kuali
3 Masukkan garam. Asam keping , serai yg. Di dititik dan air separas ikan.
4 Rebus ikan sehingga airnya hampir kering@ tinggal sedikit.
5 Matikan api.angkat ikan dan bolehlah dimakan begitu saja atau digoreng atau buat sambal atau buat gulai. Sodap……..